PERNIAGAAN Rohaya dan Abu Bakar yang terkenal dengan produk sos serta kicap jenama Rohaya dan Munirah sejak 26 tahun lalu, melangkah setapak lagi apabila mengeluarkan Kicap Garam Bukit Plus Kurma, yang berfungsi sebagai makanan kesihatan.
Kicap itu memanfaatkan kelebihan garam bukit dan kurma yang mempunyai khasiat tertentu terutama dalam membekalkan tenaga dan baik untuk minda, selain sesuai dimakan kanak-kanak serta orang dewasa.
Walaupun baru berada di pasaran, kicap itu mula mendapat tempat di kalangan pengguna terutama di kawasan utara Semenanjung serta Lembah Klang dan produk itu akan diperluaskan ke Pantai Timur dan kawasan selatan, selepas ini.
Pengurus Pembangunan Perniagaannya, Muhamad Zaki Rafiee berkata, pihaknya memanfaatkan kelebihan garam bukit dan kurma dalam produk terbaru sekali gus berfungsi sebagai makanan tambahan.
Menurutnya, sebagai permulaan pihaknya menghasilkan 3,000 botol kicap itu sebulan untuk memenuhi pasaran kawasan utara dan pengeluarannya dijangka mencecah kepada 10,000 bo tol, jika mendapat sambutan baik di Lembah Klang.
“Sebelum ini, kami menggunakan garam biasa untuk menghasilkan kicap, tetapi kali ini kami memilih garam bukit yang berkhasiat dari segi kesihatan terutama dalam mengimbangkan tekanan darah dan ia dimanfaatkan bersama buah kurma.
“Ia bukan sekadar kicap beraroma, malah sesuai digunakan dalam sebarang jenis masakan terutama mi atau bihun,” katanya ketika ditemui di kilang syarikat itu di Permatang Batu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
0 comments:
Post a Comment